Assalammualaikum kepada semua , saya bernama Aidel Azraai B Abd Rahman dari jurusan Terapi Sukan dari Institut Kemahiran Belia Negara(IKBN) Kuala Langat akan menceritakan serba sedikit tentang Ketagihan Media Sosial pada masa kini.
KETAGIHAN MEDIA SOSIAL
Era globalisasi yang sarat dengan pelbagai cabaran zahir dan maya ini, terbit satu masalah yang kian meruncing dalam rakyat Malaysia, iaitu ketagihan terhadap laman sesawang sosial. Menurut kajian Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), secara purata, seorang rakyat Malaysia kini mempunyai 3 akaun laman sosial Facebook. Lebih-lebih lagi, rakyat Malaysia didapati mempunyai rakan Facebook teramai jika dibandingkan dengan pengguna-pengguna laman sosial itu di negara-negara yang lain. Bukan itu sahaja, malah menurut kajian yang sama, seorang rakyat di negara ini meluangkan masa selama sembilan jam dalam tempoh seminggu untuk melayari laman-laman sosial. Hasil kajian ini jelas menunjukkan bahawa 'ketagihan' rakyat Malaysia terhadap laman-laman sosial seperti Facebook dan Twitter semakin serius malah membimbangkan. Hal ini demikian kerana terdapat pelbagai kesan buruk laman sesawang sosial.
Pertama sekali, laman sesawang sosial akan menyebabkan pembaziran berlaku. Wang mengalir dengan begitu mudah apabila kita menggunakan laman sesawang sosial. Misalnya, kita terpaksa membayar bil internet dan bil elektrik yang lebih tinggi kerana menggunakan perkhidmatan tersebut untuk melayari alam maya yang kita gemari. Lebih menyedihkan lagi apabila masa kita yang amat berharga turut terbazir begitu sahaja di hadapan kaca komputer. Sekiranya hasil kajian SKMM mengenai jumlah jam yang diluangkan oleh seorang rakyat Malaysia untuk melayari laman-laman sosial adalah tepat, maka kita sedang membuang hampir 80 minit pada setiap hari. Ungkapan masa itu emas semakin dilupakan oleh rakyat Malaysia akibat terlalu fanatik dengan dunia maya. Secara tidak langsung, rakyat Malaysia yang berhemat dan bijak menggunakan masa semakin 'hilang ditelan zaman'.
Di samping itu, laman sesawang sosial juga menyebabkan pelbagai gejala negatif berlaku. Hakikatnya, laman-laman sosial seperti Facebook dan Twitter merupakan satu bentuk penjajahan minda yang menyasarkan golongan muda. Insan kerdil ciptaan Tuhan ini sepatutnya berusaha melakukan anjakan paradigma terhadap negara. Malangnya, pengaruh internet, terutamanya laman sesawang sosial telah menjejaskan kekuatan mental remaja. Umpamanya, menerusi Facebook, golongan muda, khasnya perempuan gemar menyebarkan gambar-gambar diri mereka yang mencolok mata demi mendapatkan jumlah 'like' yang tinggi. Ugutan serta kegiatan buli turut sering dilakukan oleh remaja menerusi laman-laman sosial kerana mereka menganggap perbuatan tersebut tidak menyalahi undang-undang negara. Namun begitu, tanpa disedari oleh mereka, 'mangsa' mereka akan terganggu secara emosi sehingga melakukan perkara-perkara di luar jangkaan seperti bunuh diri.
5 PUNCA BERLAKUNYA KETAGIHAN KEPADA MEDIA SOSIAL
• Kelemahan Didikan Agama dan Moral Diri Remaja
• Sikap Tidak Mengambil Berat Oleh Ibu Bapa
Sikap ibu bapa juga boleh menyebabkan remaja terjerumus dengan gejala sosial. Terdapat ibu bapa yang tidak mengambil berat tentang kebajikan dan kasih sayang terhadap anak-anak. Anak-anak amat memerlukan kasih sayang daripada ibu bapa. Ada segelintir ibu bapa begitu sibuk dengan kerjaya bagi menambahkan pendapatan sehingga anak-anak terabai dan tidak mendapat kasih sayang yang secukupnya. Sikap ibu bapa ini menyebabkan anak-anak tidak mendapat perhatian yang sewajarnya lalu mereka melakukan perkara-perkara tidak berfaedah untuk mehilangkan kebosanan. Selain itu, tidak kurang juga ada yang melakukan gejala sosial ini semata-mata untuk mendapat perhatian daripada ibu bapa mereka.b
• Terikut-Ikut Dengan Sikap Negatif Rakan Sebaya
Pengaruh rakan sebaya juga boleh mendorong remaja terlibat dalam gejala sosial. Disebabkan faktor pergolakan keluarga di rumah, remaja cenderung untuk berjumpa rakan sebaya bagi mencari ketenangan dan kegembiraan. Sebahagian daripada rakan sebaya ini pula adalah mereka yang mempunyai perangai negatif. Oleh itu, remaja begitu mudah terikut-ikut dengan sikap rakan sebaya mereka. Apabila bersama rakan sebaya, remaja cenderung untuk melakukan perkara tidak berfaedah seperti merokok, melepak di pusat membeli-belah dan mendapatkan hiburan di pusat-pusat hiburan.
• Sikap Individualistik Masyarakat
Sikap masyarakat yang tidak mengambil berat tentang permasalahan remaja juga menjadi faktor penyebab. Masyarakat hari ini cenderung untuk bersikap individualistik atau tidak mahu menjaga hal orang lain. Oleh itu, tidak hairanlah jika ada remaja yang menagih dadah berdekatan dengan tempat tinggal mereka tetapi langsung tidak dipedulikan oleh masyarakat kerana mereka berpendapat bahawa, pihak berkuasa sahaja yang perlu menanganinya. Sikap masyarakat yang tidak ingin mengambil tahu tentang hal orang lain pasti akan menggalakkan lagi gejala sosial di kalangan remaja.
• Pengaruh Negatif Media Massa
Pengaruh media massa terhadap para remaja sememangnya tidak dapat disangkal lagi. Remaja cenderung untuk melakukan perkara yang pernah didengar atau dilihat di media massa kerana remaja mempunyai naluri ingin mencuba. Sebenarnya sikap ingin mencuba ini adalah sikap yang baik tetapi bukan semua perkara boleh dicuba sewenang-wenangnya. Remaja perlulah menilai kebaikan dan keburukan sesuatu perkara yang diperolehi melalui media massa.
Sebagai kesimpulan, masalah sosial haruslah dipandang serius oleh semua pihak kerana para remaja merupakan aset yang penting untuk pembangunan negara pada masa yang akan datang. Justeru, semua pihak mestilah memainkan peranan dan bertanggungjawab untuk menangani masalah sosial supaya para remaja tidak terjerumus dalam gejala sosial dan menerajui negara kita ke arah Wawasan 2020.